Tujuh Tingkatan Nafsu

Tujuh Tingkatan Nafsu

1. NAFSU AMMARAH (JAHAT)

Nafsu ammarah ialah nafsu tingkatan yang paling jahat. Ia tidak lain mengajak manusia yang dikuasainya ke jalan kejahatan, melakukan maksiat dan seronok melakukannya.

Nafsu ammarah disebut oleh Allah di dalam Al-Quran, Firman Allah yang bermaksud,

“ Sesungguhnya nafsu (ammarah) itu sangat menyuruh berbuat jahat. “ (Surah Yusuf: 53)

SIFAT SIFAT ORANG YANG BERNAFSU AMMARAH:

1. Selalu terdedah kepada godaan nafsu dan syaitan. Nafsu ammarah sentiasa menyuruh seseorang berbuat kejahatan sama ada ia faham perbuatan itu jahat atau tidak.

2. Tidak merasa duka atau sesal di atas perbuatan jahatnya, malah perasaannya lega dan gembira. Contohnya bila tertinggal solat, hatinya tidak runsing dan kesal sedikit pun, bahkan kadang kadang merasa gembira dan senang.

3. Terlalu gembira bila mendapat nikmat dan berputus asa bila ditimpa bala dan kesusahan.

“ Dan apabila Kami rasakan sesuatu rahmat kepada manusia, nescaya mereka gembira dengan rahmat itu. Dan apabila mereka ditimpa sesuatu musibah akibat kesalahan tangan mereka sendiri, lantas mereka berputus asa. “ (Ar-Rum: 36)

4. Sifat sifat yang timbul dari benih nafsu ammarah ini ialah bakhil, tamak dan haloba akan harta dunia serta terlalu cintakan keduniaan, panjang angan angan, sombong, takabbur, sukakan kemegahan, ingin namanya terkenal dan mahsyur, hasad dengki, dendam kesumat, khianat dan niat jahat, lalai terhadap Allah dan sebagainya.

Barang siapa mendapati di hatinya ada salah satu sifat tersebut, itu tandanya dia termasuk dalam golongan ammarah. Orang berilmu atau tidak berilmu boleh terjebak dalam golongan ini. Nafsu ammarah ini adalah serendah rendah darjat dan sejahat jahat nafsu dalam dunia Tasawwuf. Tempat yang wajar untuk golongan ini ialah KAWAH NERAKA yang penuh azab yang maha pedih.

2. NAFSU LAWWAMAH (MENCELA)

Di dalam Al-Quran, Allah berfirman yg bermaksud:

“ Aku bersumpah dengan nafsu lawwamah (mencela dan pengkritik diri). ” (Al-Qiamah: 2)

Nafsu lawwamah ialah nafsu yang selalu mengkritik atau mencela diri sendiri apabila berlaku sesuatu kejahatan dosa atas dirinya.

Contohnya, apabila tertinggal solat, hatinya menyesal dan segera memohon ampun kepada Allah dan mengqadhakannya. Bila terlajak berbuat dosa, ia segera menyesal. Walaubagaimana pun, untuk berbuat kebajikan dan taat, ia masih terasa berat dan dilakukan dalam keadaan terpaksa dan tidak terasa nikmat.

Nafsu lawwamah lebih tinggi sedikit daripada nafsu ammarah kerana orang ini melakukan sesuatu dengan ilmu dan kenal kejahatan dengan ilmu. Namun, hatinya masih lemah dan nafsunya masih rakus dan banyak mazmumah. Cuma dia mudah tersedar bila ditegur. Walaupun hatinya boleh dan mudah terdorong ke arah ibadah dan kebaikan, tetapi nafsunya masih belum dapat ditundukkan sepenuhnya.

Sabda Rasulullah SAW:

“ Apabila Allah menghendaki kebaikan kepada seseorang, maka Allah akan menjadikan untuknya penasihat dari hatinya (sendiri). “ (Riwayat Abu Mansur Ad-Dailami)

SIFAT SIFAT ORANG YANG BERNAFSU LAWWAMAH:

1. Mencela kesalahan diri sendiri.

2. Selalu berfikir (bertafakur) mengenang dosa dan keburukan.

3. Rasa takut bila rasa bersalah.

4. Mengkritik terhadap apa jua yang dikatakan kejahatan.

5. Mudah merasa riya’ hendak menunjuk nunjuk kepada orang apabila membuat kebaikan.

6. Mudah merasa sum’ah, iaitu ingin mmperdengarkan atau mmberitahu kepada orang sesuatu kebajikan yang dibuatnya supaya mendapat pujian orang.

7. Mudah juga merasa ujub, iaitu perasaan yang melonjak lonjak dalam hati, merasakan diri lebih lebih baik daripada orang lain, walaupun pada zahirnya ia menunjukkan sifat tawadhu’ atau tidak mahu terkenal atau pemurah.

8. Lain lain sifat mazmumah dalam hati masih tidak mampu dilawan dan sedang menguasai hatinya.

Martabat nafsu lawwamah terletak pada kebanyakan orang awam. Syurga untuk orang martabat ini tidak terjamin, kecuali setelah mndapat keampunan Tuhan dan rahmat-Nya.

Jalan selamat utuk orang yang bersifat nafsu lawwamah ialah perlu sentiasa brgaul dengan orang baik dan sentiasa berada dalam lingkungan (suasana) baik. Ia hendaklah menjauhi kawan-kawan dan suasana jahat, kerana hatinya mudah tergoda dan terikut-ikut ke arah kejahatan.

Selain itu, orang yang brsifat atau yang berada pada maqam nafsu ini hendaklah:

a) Belajar dan berusaha untuk melatih diri bermujahadah bagi melawan hawa nafsu dengan cara menanamkan benci pada maksiat dan menanamkn rasa cinta pada kebajikan.

b) Dibantu pula dengan dzikrullah supaya hati menjadi lebih lembut.

c) Setelah itu dibantu lagi dengan berdoa memohon pertolongan Allah untuk memudahkannya melawan nafsunya itu.

d) Hendaklah juga dipimpin oleh guru mursyid.

3. NAFSU MULHAMAH (ILHAM)

Setelah seseorang melalui mujahadah yang sungguh-sungguh untuk meleburkan nafsu ammarah dan lawwamah maka nafsunya akan meningkat kepada nafsu mulhamah. Nafsu peringkat ini sudah menerima proses kesucian hati atau mujahadatun-nafs. Tiada lintasan lintasan kotor atau was-was syaitan lagi, sebaliknya malaikat atau Allah mengilhamkan kebaikan pada hatinya.

Firman Allah yang bermaksud:

“ Demi nafsu (manusia) dan yg mnjadikannya (Allah) lalu diilhamkan Allah kepadanya mana yg buruk dan mana yg baik, sesungguhnya dpt kemenanganlah org yg mnyucikan hatinya dan rugilah (celakalah) org yg mngotorkannya. ” (As-Syam: 8-10)

SIFAT SIFAT ORANG YANG BERNAFSU MULHAMAH:

a) Tidak sayangkan harta, tidak sayangkan dunia.

b) Merasa cukup dgn kurniaan Allah (qana'ah).

c) Mendapat ilmu laduni dan ilham.

d) Timbul perasaan merendah diri kepada Allah (tawadhu’).

e) Taubat nasuha yang sebenar-benarnya (hakiki).

f) Tahan menanggung kesusahan dan lain-lain sifat terpuji.

Mereka dalam martabat ini mulai masuk ke sempadan maqam wali dan mulai mencapai fana yg mnghasilkan makrifat dan hakikat (syuhud).

Walau bagaimanapun sifat-sifat baik sama ada zahir atau batinnya belum benar-benar berakar umbi dengan teguh dalam diri dan hatinya. Oleh itu dia kena menjaganya dengan mengawal diri dan hatinya serta perlu meningkatkan mujahadah dan meningkatkan amalan solehnya. Kerana ujian ke atasnya sentiasa ada. Sekiranya ia tidak berjaga-jaga, nanti Allah akan mencabut kembali maqam itu menjadi lawwamah.

4. NAFSU MUTHMA'INNAH (TENANG)

Hasil latihan mujahadah yang berterusan, nafsu mulhamah akan meningkat kepada nafsu muthma'innah. Hati yang sudah sampai ke peringkat suci dan tenang. Nafsu muthma'innah adalah martabat nafsu pertama yg telah mula mendapat keredhaan Allah dan dia juga telah layak memasuki syurga.

Firman Allah,

“ Wahai orang yang bernafsu muthma'innah, pulanglah ke pangkuan tuhan-Mu dalam keadaan redha-meredhai dan masuklah ke dalam golongan hamba-Ku dan masuklah ke dalam syurga-Ku. “ (Al-Fajr: 27-30)

SIFAT SIFAT ORANG YANG BERNAFSU MUTHMA'INNAH:

a) Murah hati dan tidak lekat wang di tangan kerana bersedekah.

b) Tawakkal yg benar.

c) Arif dan bijaksana.

d) Kuat beribadah.

e) Syukur yg benar.

f) Redha pada segala hukuman Allah.

g) Taqwa yg benar dan lain-lain sifat terpuji.

5. NAFSU RADHIAH (REDHA)

Hasil kegigihan melatih diri (mujahadatun-nafs) untuk memakrifatkan diri kepada Allah, orang yang bernafsu muthma'innah ini akan meningkat kepada nafsu radhiyah. Orang ini memiliki keseluruhan sifat mahmudah dan kuat hubungan hatinya dengan Allah. Orang ini mendapat pimpinan ilmu al-laduni dan mempunyai pandangan mata hati yang tajam atau dikenali sebagai firasat.

Sepertimana sabda Rasulullah SAW:
“ Takutilah akan firasat orang mukmin, bahawasanya orang-orang mukmin itu melihat dgn nur Allah (petunjuk Allah SWT). “ (Riwayat At-Tirmizi)

Tabiat orang peringkat ini luar biasa, ia tidak takut pada bala Allah dan tidak tahu gembira pada nikmat Allah, yang ia tahu hanya keredhaan Allah dan hukuman-Nya.

Firman Allah :
“ Sesungguhnya wali2 Allah itu tak pernah rasa takut dan bimbang. “ (Surah Yunus: 62)

Nafsu mereka sudah terkikis dari akar umbinya sekali dan mereka disinari oleh nur syuhud kepada makrifat, bertalu-talu masuk ke dalam hati nurani yg tetap waja itu.

Alam di sekeliling mereka laksana cermin. Apabila melihat alam ia ‘nampak’ (teringat atau terasa) akan kebesaran dan keagungan Allah. Hal itu berlaku setiap ketika. Maqam ini juga disebut dengan maqam musyahadah sepertimana Rasulullah SAW bersabda di dalam hadis tentang sifat ‘al-ihsan’.

Sabda Rasulullah SAW:

“ … maksud ehsan ialah apabila engkau menyembah Allah hendaklah terasa seolah-olah engkau melihat-Nya. Jika engkau tidak dapat melihat-Nya, ketahuilah bahawa Allah melihat kamu. " (Riwayat Muslim)

Sifat-sifat mahmudah yang timbul dari nafsu radhiah ialah zuhud, ikhlas, wara’, meninggalkan perkara2 yang bukan urusannya, memelihara hukum-hakam Allah dan lain2 sifat kerohanian yg tinggi.

Maqam nafsu ini hanya dapat dicapai oleh para wali Allah. Mereka dapat merasa nikmat melakukan kebajikan dan berbudi luhur. Zikir wiridnya hebat, bukan sekadar di lidah tetapi hatinya penuh khusyu’ dan tawadhu’ mengingati Allah.

Firman Allah SWT:
“ Berzikirlah kepada Tuhanmu dalam hati dalam keadaan merendah diri dan takut. “ 
(Surah Al-A’raf:205)

6. NAFSU MARDHIAH

Mereka yang telah sampai ke peringkat nafsu mardhiah kelihatan lebih tenang dan tenteram. Hati dan jiwanya telah benar benar sebati dengan Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW:
“ Apabila kamu sekalian melihat seorang mukmin itu pendiam dan tenang, maka dekatilah ia. Ssungguhnya dia akan mengajar kamu ‘hikmat’. “ 
(Riwayat Ibnu Majah)

Segala gerak-geri orang di peringkat nafsu ini diredhai Allah. 
Sabda Rasulullah SAW dlm hadis Qudsi:
“ Sentiasalah hamba-Ku berdampingan kepada-Ku dengan mengerjakan ibadat sunat hingga aku kasihkan dia maka apabila Aku kasihkan dia nescaya adalah Aku pendengarannya yang dia mendengar dengannya, penglihatan yang dia melihat dengannya, pertuturan lidahnya dia bertutur dengannya, penampar tangannya yang dia menampar dengannya, berjalan kakinya yang dia berjalan dengannya dan berfikir hatinya yang dia berfikir dengannya. “
 (Riwayat Imam Bukhari)

Orang yang dapat mencapai martabat nafsu mardhiah digelar wali Allah dlm martabat yang istimewa.

SIFAT SIFAT ORANG YANG BERNAFSU MARDHIAH:

a) Elok dan tingginya budi atau kesusilaan org ini umpama Nabi2.

b) Lemah-lembut dalam pergaulan masyarakat sebagaimana perangai nabi2.

c) Sentiasa ghairah utk brdamping dan beribadah kepada Allah.

d) Sentiasa berfikir pada kebesaran Allah.

e) Redha dan rela dengan apa-apa pemberian Allah dan lain-lain sifat terpuji.

7. NAFSU KAMILAH (SEMPURNA)

Orang yang berada di peringkat nafsu kamilah ini, berada di peringkat nafsu tertinggi. Setiap perlakuannya benar-benar mengikut garis keredhaan Allah dan tidak pernah terdorong oleh hasutan nafsu dan syaitan kepada kejahatan.

Cintanya tertumpu kepada Allah, ingatannya kepada Allah tidak pernah putus. Allah SWT membayangkannya dalam hadis Qudsi yang bermaksud:

“ Sesungguhnya telah lama orang yang baik-baik itu rindu untuk bertemu dengan Aku, dan (sebaliknya) Aku lebih rindu untuk bertemu mereka. ”
(Riwayat Hadis Abu Darda’)

Hanya para rasul, para nabi dan wali Allah sahaja yang boleh sampai ke taraf nafsu kamilah. Orang soleh, pejuang kebenaran boleh menuju ke tingkat nafsu yang tinggi itu proses mujahadah yang sungguh sungguh.

Apabila kita telah mengenal di mana tahap nafsu kita, maka dapatlah kita berusaha meningkatkannya ke peringkat yg lebih tinggi dan mendorongnya kepada kebaikan. Bahkan tuntutan meningkatkn nafsu ke maqam yang tinggi adalah diperintahkan.

Kerana orang yang berada di peringkat nafsu terendah yang bertaraf binatang, bererti ia sentiasa berada dalam suasana maksiat dan berdosa serta menderhakai Allah. Maka wajiblah meninggalkan segala maksiat dan kembali menjadi hamba Allah yang taat.

Wallahu a'lam

Comments

Popular posts from this blog

Kemerdekaan Sejati

NASIHAT DIRI

🩵SAKIT HADIR TANPA BERBISIK🩵