Qalbun Salim
Renungan
💚السلام عليكم و رحمة الله و بركاته💚
🩷صلى الله على محمد صلى الله عليه و سلم🩷
🤍Qalbun Salim🤍
Qalbu itu wajib dididik, dipimpin dan dibimbing agar ia menjadi tulus, ikhlas dan sentiasa berprasangka baik. Apabila qalbu itu tulus, ia akan menguatkan seluruh kehidupannya secara batin dan zahir.
Beberapa cara untuk mendidik, memimpin dan membimbing qalbu :
🌹PERTAMA🌹
Menelusuri ilmu tentang qalbu atau ruhani. Ini bertujuan untuk mengenal sifat-sifat qalbu yang positif dan yang negatif. Dengan menelusuri ilmu tentang qalbu, kita akan dapat mengenal dan mengesan sifat-sifat mahmudah (iaitu sifat-sifat positif). Kita juga dapat mengenal dan mengesan sifat-sifat mazmumah (iaitu sifat-sifat negatif). Ianya bertujuan untuk membina qalbu agar dapat mengenal Allaah Sang Maha Pencipta dan sentiasa mengingatiNya.
🌹KEDUA🌹
Menjalani beberapa latihan (mujahadah) seperti :
1️⃣ Mujahadatun Nafs
Mujahadatun nafs itu dilaksanakan dengan menempuh tiga peringkat :
👉Takhalli
Kita mesti berusaha untuk melawan dan membuang dengan memaksa secara terus-menerus akan semua kehendak-kehendak nafsu rendah (jahat) yang dilarang oleh Allaah. Jika kita tidak memaksa diri kita untuk membenci dan menghindarinya secara terus-menerus tanpa henti. Maka, nafsu rendah (jahat) itu akan sentiasa menguasai diri kita dan memperhambakan kita.
Sabda Rasulullah saw :
“Sejahat-jahat musuh mu adalah nafsumu yang terletak di antara dua rusukmu
(iaitu qalbu).”
(Riwayat Al Baihaqi)
Apabila nafsu rendah (jahat) itu dibiarkan menguasai qalbu, maka iman tidak akan dapat menempati qalbu. Bila iman tidak ada di qalbu, manusia tidak lagi menyembah Allaah sebagai Tuhan yang sebenarnya. Akan tetapi dia akan menuruti perintah dan menyembah hawa nafsunya. Oleh yang demikian itu, maka usaha mujahadatun nafs adalah satu jihad yang sangat besar dalam diri.
Sabda Rasulullah saw kepada para sahabat ketika baginda balik dari satu medan peperangan:
“Kita baru balik dari satu peperangan yang kecil untuk memasuki
peperangan yang besar.”
Para Sahabat ra pun bertanya: “Peperangan apakah itu?”
Baginda pun menjawab: “Peperangan melawan nafsu.”
(Riwayat Al Baihaqi)
👉Tahalli
Tahalli ertinya menghias dan merupakan perkataan lawan bagi Takhalli. Setelah bermujahadah dengan mengosongkan qalbu dari sifat-sifat mazmumah (iaitu sifat-sifat negatif), maka dengan segera pula kita menghiasi hati dengan sifat-sifat mahmudah (iaitu sifat-sifat terpuji). Dalam hal ini kita melakukan dua bentuk mujahadatun nafs. Pertama, mujahadatun nafs membersihkan qalbu daripada sifat-sifat mazmumah. Kedua, mujahadatun nafs untuk mengisi qalbu dengan sifat-sifat mahmudah. Di peringkat mujahadatun nafs ini, kita masih berasa berat dan susah. Mujahadatun nafs itu pada hakikat yang sebenarnyanya ialah kita memaksa diri memerangi diri kita sendiri.
Teknik mujahadatun nafs dalam tingkat Tahalli itu seumpama melakukan latihan senaman (riyadhah) untuk menyihatkan badan. Mula-mula akan rasa sangat-sangat meletihkan, membosankan dan seluruh badan merasa kesakitan. Akan tetapi di akhirnya nanti, akan merasa keseronokan dengan senaman itu. Badan merasa segar bugar dan merasa lebih sihat. Begitulah juga juga dengan mujahadatun nafsi (riyadhatun nafs) ini. Boleh dikatakan juga senaman secara ruhaniah.
Pada peringkat permulaan, segala macam rasa akan terasa. Namun akhirnya ia akan mesra dengan tabiat diri hingga qalbu merasa tenang dan lapang.
👉Tajalli
Tajalli adalah keberhasilan daripada mujahadatun nafs dalam Takhalli dan Tahalli. Setelah melalui mujahadatun nafs di petingkat Takhalli dan Tahalli, maka keberhasilannya memperolehi Tajalli. Tajalli adalah perasaan yang datang dengan sendirinya dan sukar untuk dituliskan dalam bentuk kata-kata.
Tajalli adalah sejenis perasaan bersifat maknawiyah (dzauk), yang hanya dapat dimengerti oleh qalbu orang-orang yang mengalaminya dan merasainya. Sama seperti nikmat sedapnya durian yang tidak akan dapat digambarkan secara tepat. Sungguh sedap dan nikmatnya rasa durian itu.
Tajalli ini adalah merasa adanya Tuhan dan merasa bertuhan. Iaitu merasa diri sentiasa dilihat dan diawasi oleh Tuhan. Hidup qalbunya seakan celik, nampak dan rasa akan segala kebesaran Allaah. Sentiasa ingat dan rindu hanya untuk Allaah semata-mata. Qalbunya tenggelam dalam kebesaranNya dan menyintaiNya setiap saat. Harapan dan ketergantungan qalbunya hanya kepada Allah dan tidak ada yang lain selain daripadaNya. Qalbunya merasa bahawa seluruh amal ibadahnya hanya untuk Allaah semata-mata. Kerana ianya adalah hadiah daripada Allaah kepada qalbunya. Segala permasalahan dalam kehidupan ini dihadapi dengan penuh ketenangan dan kebahagiaan. Qalbunya merasa bahawa kesemuanya ini adalah pemberian daripada Kekasihnya Allaah SWT.
2️⃣Istiqamah
Istiqamah ialah ketaatan qalbu yang berterusan dalam melaksanakan seluruh suruhan Allaah SWT dan menjauhi seluruh laranganNya.
Qalbu seperti ini sebenarnya telah mendirikan benteng untuk mengawal qalbunya dari segala bentuk gangguan sifat-sifat mazmumah. Jika tiada benteng di qalbu, maka segala bentuk sifat-sifat mazmumah mudah untuk masuk ke qalbu dan merosakkan imannya.
Oleh sebab itu, tujuan mujahadatun nafs itu adalah untuk membuahkan iman dan akhlak. Melalui amalan berterusan (istiqamah) dalam melaksanakannya secara tetap akan menetapkan iman dan akhlak itu di qalbu kita. Jika amalan itu dilakukan hanya sekali-sekala dan tidak berterusan, maka sudah tentulah iman itu tidak terjaga dan tidak terjamin keselamatannya.
Sabda Rasulullah saw:
“Amalan yang paling ni disukai Allaah ialah amalan yang berterusan (berkekalan) walaupun sedikit.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
🌹Cara Memiliki Sifat Istiqamah :
👉Sentiasa bermujahadatun nafs agar berterusan mengamalkan sifat-sifat mahmudah.
👉Sentiasa berdoa memohon bantuan Allaah SWT agar dapat melaksanakan segala suruhanNya dan meninggalkan seluruh laranganNya secara berterusan.
👉Sentiasa membaca dan mengambil iktibar daripada kisah para Rasul yang sentiasa istiqamah dalam melakukan kebaikan.
👉Sentiasa muhasabah diri agar tulus, ikhlas dan sabar dalam setiap apa jua bentuk tindakan.
👉Sentiasa mempelajari ilmu dengan istiqamah supaya menjadi amalan dalam kehidupan.
Sentiasa berkawan dengan rakan yang berdisiplin dalam melakukan kebaikan.
🌹Kebaikan dari sikap istiqamah ini ialah:
👉Amalan yang dilakukan secara istiqamah akan berkesan. Umpama air yang menitik itu terus-menerus menitik di atas batu, lama-kelamaan akan melekukkan batu itu. Sebaliknya kalau banjir sekalipun yang datang tetapi hanya sekali datangnya, tentu tidak berbekas pada batu.
👉Beramal secara istiqamah dapat membersihkan qalbu agar iman dan akhlak sentiasa subur. Setiap kali kita beramal, qalbu akan merasa tenang. Istiqamah dalam beramal akan membuat qalbu sentiasa dapat menikmati nikmatnya ketenangan bersama Allaah. Nikmat yang sangat berharga inilah yang akan memelihara iman di qalbu kita.
👉Nafsu dan syaitan tidak pernah rehat daripada memujuk dan merayu qalbu. Istiqamah adalah benteng pertahanan qalbu terhadap pujukan dan rayuan itu. Ini bererti tidak ada istilah rehat dalam mujahadatun nafs untuk memelihara iman di qalbu.
3️⃣Bertafakkur
Di dalam Al-qur’an, banyak ayat-ayat yang menjelaskan dan mengajak manusia untuk menggunakan akal fikirannya dan terus menerus melakukan tafakkur. Kita boleh baca dan fahami di dalam surah Al-Baqarah ayat 219.
…كَذٰلِكَ يُبَيِّنُ اللّٰهُ لَكُمُ الْاٰيٰتِ لَعَلَّكُمْ تَتَفَكَّرُوْنَۙ
“…Demikianlah Allaah menerangkan ayat-ayatNya kepadamu agar kamu memikirkan”, (Al-Baqarah: 219).
Manusia yang selalu menggunakan akal fikirannya untuk bertafakkur, maka disebut oleh Allaah SWT sebagai para Ulul Albab, iaitu mereka yang senantiasa berfikir dan merenungkan ayat-ayat Allaah baik ketika berdiri, duduk dan ketika berbaring sambil mengucapkan puji-pujian ke atas kebesaran Allaah. Sesungguhnya setiap ciptaan Allaah itu tidak ada yang sia-sia. Bahkan banyak memberikan pengajaran dan manfaat untuk seluruh alam.
Al-Qur’an menegaskan tentang betapa pentingnya menggunakan akal fikiran yang kita miliki untuk senantiasa bertafakkur. Belajar menelusuri sirah nabawiyah terdahulu ketika nabi kita Muhammad belum diangkat menjadi Rasul utusan Allaah, beliau telah melakukan khalwat (menyendiri) di Gua Hira'. Muhammad yang masih muda merasa gelisah dengan kehidupan sosial yang ada di lingkungannya pada waktu itu. Beliau telah merasakan ada yang salah dengan keadaan lingkungan kehidupan bangsanya itu. Berdasarkan qalbu dan akal fikirannya yang merasa tidak sesuai dengan nilai-nilai keutamaan manusia. Maka beliau pun menyendiri di Gua Hira' untuk bertafakkur memohon petunjuk kepada Tuhan yang menguasai sekelian alam. Hingga pada suatu malam di bulan Ramadhan, beliau mendapat petunjuk itu dengan diturunkannya wahyu pertama oleh Allaah SWT melalui malaikat Jibril as.
Hal ini juga pernah dilakukan oleh Hujjatul Islam Imam al-Ghazali ketika qalbu dilanda kebimbangan hebat untuk mencari jalan dalam menemukan tentang erti hidup dan kehidupan. Berbulan-bulan lamanya dia mengasingkan diri ('uzlah/khalwah) daripada berhubungan dengan kehidupan duniawi. Tujuannya hanyalah untuk bertafakkur, merenung dan melakukan muhasabah untuk menemukan jawapan atas persoalan yang sedang dia hadapi. Setelah berbulan-bulan Al-Ghazali melakukan 'uzlah/khalwah, maka dia menemukan jawapan atas semua persoalan yang dia hadapi. Jawapan itulah yang dia nyatakan sendiri bahwa jalan untuk menemukan makna hidup yang sesungguhnya adalah melalui jalan tasawuf.
Demikianlah tafakkur yang telah dilakukan oleh Nabi saw kita dan orang-orang golongan Khawaasul khawaas (orang-orang pilihan). Tafakkur akan menjadikan manusia tidak pernah berhenti bersyukur atas segala nikmat yang sudah Allaah SWT berikan kepada kita. Tafakkur akan melahirkan pemikiran-pemikiran yang brilliant dan menjadi sumber pengetahuan. Pentingnya tafakkur kerana ianya akan mengingatkan manusia untuk terus melakukan muhasabah diri tentang apa yang sudah, sedang dan akan dilakukannya pada esok hari. Apakah banyak kebaikan yang sudah dia lakukan atau sebaliknya banyak dosa dan maksiat yang sudah dilakukan.
Oleh itu, yang paling penting ialah bertafakkur itu merenung dengan qalbu dan akal fikiran tentang ciptaan Tuhan hingga datang rasa insaf dan merasai akan kelemahan diri. Seperti memikirkan rahsia ciptaan alam sehingga merasa akan kebesaran Allaah. Akhirnya qalbu merasa gerun kepada kekuasaanNya dan kehebatanNya. Qalbu dapat merasakan akan satu pentadbiran Yang Maha Agung sedang mengawasi qalbu dan diri kita. Lalu qalbu dan diri akan merasa tersangat takut untuk derhaka kepada Allaah.
4️⃣Pergaulan
Imam Al Ghazali pernah menyatakan cara-cara untuk memperbaiki diri adalah adalah bergaul dengan orang ramai. Melalui pergaulan dapatlah dikesan sifat-sifat mazmumah kita. Manusia secara umum biasanya lebih suka memperkatakan tentang keburukan kita daripada kebaikan kita. Sebabnya, terkadang kita sendiri tidak sedar dan tidak tahu tindakan itu adalah satu kejahatan. Bila orang mula berbicara tentang kita, barulah kita tahu akan kejahatan diri. Apabila diri sedar di waktu itu, maka mudahlah untuk bermuhasabah dan membaikinya.
5️⃣Mursyid
Seterusnya ntuk memperbaiki diri hendaklah dia melalui pimpinan. Pemimpin atau guru mursyid itu mampu memimpin kerana ada kelebihannya. Biasanya seorang mursyid ini, dia lebih tahu tentang kelemahan muridnya daripada muridnya mengenali dirinya sendiri. Mursyid ini juga mampu mendidik, memimpin, membimbing dan memberi tunjuk ajar. Biasanya dengan adanya pimpinan dan bimbingan guru mursyid, ianya lebih berkesan dan lebih cepat untuk kita melakukan perubahan diri.
Biasanya guru mursyid sentiasa memberi teguran kepada pengikut-pengikutnya atau murid-muridnya sama ada secara langsung dengan lisan mahupun dengan perbuatan secara tidak langsung. Pimpinan daripada pemimpin yang mursyid itu lebih berkesan daripada latihan-latihan lain dalam memperbaiki diri dan qalbu.
Qalbu ini mempunyai peranan yang sangat besar dalam kehidupan. Ia adalah raja dalam kerajaan diri manusia. Sebab itu Allaah memerintahkan untuk membersihkan qalbu atau ruh. Membersihkannya daripada sifat-sifat mazmimah dan digantikan dengan sifat-sifat mahmudah melalui takhalli, tahalli dan tajalli.
Erti firman Allaah dalam Al Quran:
"Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan)."
"Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).
(As Syams: 9-10)
Allaah sebut orang yang qalbunya baik, dia akan berjaya dan mencapai kemenangan dalam kehidupan. Mendapat kemenangan di dunia dan mendapat kemenangan di Akhirat. In syaa Allaah.
و الله اعلم بالصواب
Dipetik oleh alfaqir ilallaah
Nuurul Imaan
1 Jamadil Awwal 1445 H
15 November 2023 M
Comments
Post a Comment